~aku dan dosa~ part 3~
January 20, 2010
Waktu itu aku sedang menikmati sarapan di sebuah gerai. Tiba tiba seorang rakan memberitahu aku bahawa pihak polis sedang menggeledah rumah sewaku yang lama. Beberapa orang rakanku sudah dicekup dan dibawa ke balai. Aku bergegas pulang kerumah sebelum pihak polis sampai ke tempatku. Di rumah.. segala bentuk bahan terlarang aku curahkan kedalam mangkuk tandas dan aku pamkan cepat cepat sehingga tiada kesan bukti. Selepas itu yang kedengaran hanyalah tangisan S dan anak lelakiku ketika polis memberkas dan membawa aku kebalai. Aku tergamam.. serba salah tidak sanggup memandang kebelakang kearah S. Peristiwa lama terbayang kembali.. Begitulah keadaannya saat aku meninggalkan ibu di kampung ketika aku keluar dari rumah. Bezanya kini polis yang membawa aku pergi dan aku pergi tanpa kerelaanku. Dalam perjalanan ke balai aku tak henti henti menangis mengenangkan nasib S dan anakku.
Setelah siap siasatan.. Pihak polis tidak dapat menyabitkan aku dengan 39B AKTA DADAH BERBAHAYA. Aku terlepas dari tali gantung sedangkan tiga orang rakan seperniagaanku kecundang. Pihak polis tidak menemui apa apa bukti ketika mereka menggeledah rumahku pada saat aku ditangkap. Dengan ini aku disabitkan dengan kesalahan menagih dadah dan dihantar ke pusat serenti untuk program pemulihan selama lima tahun.
Dalam pusat serenti.. aku banyak belajar tentang kehidupan. Aku kembali keajaran agama dengan bimbingan seorang ustaz. Alhamdulillah aku dapat mengecapi kembali keindahan islam yang telah jauh aku tinggalkan. Apek yang sudah mengganggap aku seperti anaknya seringkali datang menjengukku. S juga sesekali sekala datang menjengukku bersama sama anakku. Aku dapat tahu yang S telah pindah dari rumah sewa dan duduk menumpang dirumah kawan lamanya semasa menjadi GRO. Untuk menyara hidupnya S berkerja sebagai jurujual di pasaraya berdekatan.
Genap setahun dalam pusat serenti, telah banyak yang aku timba ilmu pengetahuan dan kemahiran. S datang untuk kali yang terakhir bersama sama anakku. Katanya dia ingin pergi dari kota. Mungkin akan ke utara membina hidup baru disana. Dikota, S tidak dapat menahan godaan untuk kembali kepada kerjaya lamanya demi untuk menampung keadaan hidup yang semakin mendesak. Aku dapat rasakan yang aku akan berpisah untuk selama-lamanya dengan S dan anakku. Aku tiada upaya untuk memujuk S lagi. Biarlah S pergi mencari ketenangan hidup dalam membesarkan zuriatku dengan sempurna.
Dua tahun selepas itu. S datang kembali menjengukku. Kali ini seorang diri tanpa anakku. Rupanya S ingin menuntut fasakh dariku. S telah menemui seseorang yang lebih baik dariku. Puas aku bertanya, tetapi S seperti ingin merahsiakan dimana dia tinggal ketika itu. Katanya cukuplah sekadar aku tahu yang dirinya bahagia dengan hidupnya yang baru manakala anakku membesar dengan sempurna. Aku tidak segan silu menangisi pemergian S, satu satunya isteri yang aku cintai seumur hidupku. Aku amat memahami kenapa S bertindak sedemikian sedangkan janjinya untuk sehidup semati denganku masih segar dalam ingatan. Semuanya hanyalah demi kesejahteraan dan masa depan zuriatku sendiri. Sekiranya jodohku dengan S hanya setakat ini, Aku reda dengan takdir yang ditentukan Tuhan untukku.
Tidak sampai lima tahun aku telah dibebaskan atas sebab berkelakuan baik. Aku disambut oleh Apek yang tak henti henti menjenguk aku ketika aku dalam pusat. Apek menawarkan aku pekerjaan lamaku tetapi aku menolak dengan alasan aku ingin lari dari kehidupan silam. Namun sikap murni apek tidak terhenti disitu. Dia menugaskan aku untuk menjaga kebun buahnya di satu pekan yang agak terpencil. Ini hanya untuk menuruti permintaanku supaya aku tidak dapat dijejaki oleh rakan rakan lamaku. Di sana aku kembali kepada keadaan daif seperti yang pernah ayah lalui semasa aku masih kecil. Hanya ada pondok dusun yang beratapkan nipah menjadi tempat aku berteduh. Tidak sampai seminggu, aku dikhabarkan bahawa Apek telah menemui ajal dalam kemalangan jalanraya semasa memandu lori yang sarat dengan buah buahan. Ketiadaan apek yang selama ini menjadi tempat aku bergantung hidup membuatkan hidupku terus diselubungi kemiskinan. Aku mencari nafkah dengan mengail ikan dan menjualnya di kedai di hujung kampung. Kalau ada rezeki adalah ikan untuk dijual. Ibarat kata pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kedaifan itu terus berlanjutan hingga beberapa tahun dan sehingga itu aku terus menjadi penunggu tetap pondok itu. Diatas pondok itulah aku tidur beralaskan tikar mengkuang dan setiapkali hari hujan, aku hanya mampu duduk di tepi dinding kerana lantai pondok dilimpahi air hujan. Aku pun seakan tidak mengerti kenapa Tuhan tidak memberi aku peluang untuk aku membina semula hidupku dengan sempurna. Makan pakaiku masih atas belas ikhsan orang lain. Makan nasi berlaukkan garam menjadi lumrah kehidupanku sehari- harian.
Oleh kerana Kasihan melihat kehidupanku.. Seorang Penduduk kampung yang sering memberikan makanan kepadaku menjodohkan aku dengan seorang janda bernama K dengan harapan aku dapat menumpang hidup dengan lebih sempurna daripada sekarang. Alhamdullilah aku selamat diijabkabulkan dengan K tanpa dihadiri walau seorang pun orang tuaku apatah lagi adik beradikku yang tidak pernah aku kenali.
Dari situ kehidupan ku sebagai seorang suami kepada K bermula. Bagaimana Ibuku dapat menerima kehadiran ayahku begitulah K dapat menerima aku seadanya walaupun K tidak mengenaliku apatah lagi latarbelakang hidupku yang hina itu. K yang merupakan seorang janda, hidup dengan ibu bapanya yang sudah tua. Dengan kehadiranku dapatlah aku meringankan beban yang ditanggungnya dengan melakukan kerja kerja kebun diatas tanah orang tuanya. Walaupun aku bahagia dengan K namun aku masih merasakan sesuatu kekurangan dalam hidupku. Hampir setiap malam aku bermimpi dan mengigau dalam tidurku. Dalam mimpi itu aku lihat Ibu sedang berjalan memimpin Ayah ditepi lebuhraya ditengah tengah panas terik matahari. Ibu dan ayah kelihatan begitu daif sekali dengan pakaiannya yang compang camping dan sekala sekali ayah jatuh tersungkur didalam semak kerana keletihan. Setiap kali aku terjaga dari mimpi aku terus menangis teresak esak sehingga menimbulkan kehairanan Isteriku. Mimpi yang sama itu berulang hampir setiap malam membuatkan hidupku sentiasa resah gelisah. Jauh disudut hati aku teringin untuk kembali menatap wajah Ibu dan ayah. Tapi aku malu untuk pulang ke kampung halamanku. Sumpah ku untuk tidak menjejakkan kakiku lagi kerumah itu masih terngiang ngiang ditelingaku. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan kisah silamku itu.. Aku tidak berdaya. Tuhan aku mohon kepadamu ampunilah dosa dosaku. Tapi desakkan dalam diri membuatkan aku ingin kembali dan membantu orangtuaku yang serba daif itu. Dan yang paling membingungkan aku apakah ayah dan ibu masih hidup lagi dalam dunia ini..?
Bersambung ke bahagian akhir….
January 21, 2010 at 10:00 pm
its become interesting… tak sabar nak tahu kesudahannya..:)
January 21, 2010 at 10:21 pm
tunggukannya 2 hari lagi..saya akan habiskan cerpen nih…tunggu ek amrina…
January 27, 2010 at 11:37 am
insya allah.. ;8