~aku dan dosa~ Part 2 ~
January 11, 2010
Seperti yang telah aku rancang. Kotaraya terus aku tujui. Berbekalkan pakaian sehelai sepinggang ini aku menumpang lori seorang apek penjual buah buahan dan terus menuju ke kotaraya. Sepanjang perjalanan ku ke kotaraya.. tidak henti henti apek itu bercerita dan sekali sekala bertanya tentang kehidupanku. Tanpa rasa malu dan berselindung.. aku jelaskan segala galanya yang berlaku. Aku kira apa perlu aku malu dengan apek yang entah siapa dan dari mana asalnya. Setibanya di Kuala Lumpur.. Apek itu mengajak aku tinggal malah bekerja dengannya memandangkan dia tidak mempunyai sebarang anak.. Dan dari saat itu bermulalah hidupku sebagai penjual buah buahan dan tinggal sebumbung dengan apek itu bersama sama dengan isterinya. Duit gaji yang diberikannya sudah cukup untuk menyara hidupku di tengah tengah kotaraya ini.
Perkerjaan ku sebagai penjual buah buahan mendedahkan aku kepada orang ramai. Dari situ ramai rakan rakan mengenaliku dan menjadi seterusnya rakan akrab. Daripada hanya seorang penjual buah.. aku terjebak semula dengan dadah. Pada mulanya aku hanya seorang penagih. Setelah cukup modal yang telah aku kumpulkan aku menjadi pengedar kecil kecilan pula. Bekalan ini aku dapat dari seorang pembekal besar di tengah kota. Hasil dari penjualan dadah ni memang menguntungkan. Dari seorang yang sederhana aku kini sudah mula senang. Aku tidak tinggal lagi dengan Apek itu malah aku menyewa sebuah rumah dengan kawan kawan pengedarku. Oleh kerana daya tarikkan dan pengaruhku agak luas maka daripada pengedar kecil kecilan aku kini sudah jadi pengedar besar. Bekalan ku pula aku dapat dari seorang ketua samseng terkenal. Aku sudah ada nama dalam bidang ini. Kali ini daripada keadaan senang, aku jadi seorang yang mewah walaupun tidak kaya raya. Aku masih ingat lagi moto besar yang aku tunggangi cukup gah ketika itu. Dari setakat pengedar aku kini meluaskan lagi kegiatan ku kepada aktiviti penyeludupan kenderaan dan barang elektrik. Wang ribuan ringgit yang aku perolehi habis begitu sahaja aku joli. Aku lebih selesa begitu kerana aku memikirkan sekiranya aku menyimpan wang yang banyak dalam bank sudah tentu ianya mempermudahkan aku di jejaki oleh pihak berkuasa.
PAda masa itulah aku mengenali seorang GRO bernama S, S seorang gadis berbangsa cina. Oleh kerana aku kerap bertandang ke situ. Aku dapat mengenali S dengan lebih mendalam. Dari situ barulah ku ketahui yang S sebenarnya menyimpan perasaan terhadapku. Dari setakat pelanggan tetap kini S menjadi kekasihku. Dari apa yang diluahkan oleh S ternyata dia ingin hidup dengan ku dan lari daripada perkerjaannya sekarang. S memeluk islam tanpa pengetahuanku. Pada suatu hari S menemuiku dan mengajak aku bernikah dengannya ketika itu juga. Oleh kerana perasaan cintaku yang mendalam kepadanya aku terus bernikah dengan S. Pernikahan itu tidak dihadiri oleh sanak saudara baik S mahupun aku. Ketika itu S sudah pun berhenti dari menjadi GRO. Aku terpaksa keluar dari rumah sewaku dan menyewa sebuah rumah lain untuk aku tinggal bersama sama dengan S.
Ketika bersama S, S banyak mengajak aku berhenti dari meneruskan kegiatanku. S banyak memberikan aku perangsang malah semangat untuk berubah menjadi lelaki yang baik. S kelihatannya begitu bersungguh-sungguh mendalami agama yang baru dianutinya. Aku merasakan hidupku sudah terbalik. Sepatutnya Aku yang membimbing S kerana dia seorang mualaf. Tetapi S yang merupakan seorang mualaf yang baik kini membimbing aku kejalan yang benar. Seringkali S bertanya aku tentang orang tuaku. Setiapkali itulah aku herdik dia kerana pantang sekali aku ditanya tentang ibubapaku. Aku marah kerana S sendiri tidak pernah kuketahui latar belakang keluarganya apatah lagi untuk aku bertanya tentangnya. Bayang wajah Ibu aku lontarkan jauh jauh dari ingatanku.
Aku merasakan keseronokkan sebagai seorang ayah buat kali pertama apabila S melahirkan seorang anak lelaki yang comel sekali.. mewarisi wajah melayuku dan ibunya seorang gadis cina. Melihat bayi yang masih merah itu aku menitiskan airmata apabila mengenangkan keadaanku ketika masih bayi dalam pangkuan Ibuku. Aku menjadi tidak keruan seketika. Bayang-bayang Ibu kembali menghantui hidupku kini. Perasaan rinduku pada ibu cepat cepat aku lontarkan jauh jauh.
Sepanjang hidupku berumahtangga, S tidak pernah jemu memujuk aku untuk kembali ke jalan yang dirahmati Tuhan. Sedikit demi sedikit kata kata S berkesan terhadap diriku. Aku mula mengurangkan kegiatan ku sedikit demi sedikit dengan harapan terus berhenti akhirnya. Aku kembali menemui Apek yang pernah memberi aku tempat teduh itu untuk berbincang dan seterusnya bersama-sama memulakan kembali perniagaan buah yang paling aku ketahui selok beloknya selain kegiatan haramku itu. Baru dua bulan aku merancang, tiba tiba pada satu hari…..
Bersambung ke bahagian tiga…..
January 16, 2010 at 1:45 pm
part ni saya suka.. 😉